Sunday, July 11, 2010

Diri, Pendirian

hari ni hari ahad. bagi sesetengah orang, hari ahad tu hari ketujuh dalam seminggu. mungkin sebab bagi mereka, hari ahad tu terletak pada hujung minggu. jadi, bagi mereka, hari ahad tu lebih sinonim dengan hari yang akhir dalam seminggu.

bagi aku, aku suka untuk menerima hari ahad tu sebagai hari pertama, sesuai dengan namanya. sebabnya, hari-hari dalam bahasa melayu tu asal-usulnye dari bahasa arab. wahid-ithnani-thalatha, satu-dua-tiga. jadi, hari ahad, hari pertama.

hari ni hari ahad. hari ni aku nak tulis pasal aku; subjek penulisan yang aku memang berniat nak elak kat laman blog ni. kenapa aku nak elak tulis pasal aku, padahal ni blog aku? sebabnye, mungkin aku masih lagi keliru tentang peranan blog peribadi. asalnye adalah dari perkataan web log. log boleh dimaksudkan dengan jurnal, atau diari. nah, sepatutnya semudah itu nak merungkai peranan blog; fungsinya seperti sebuah jurnal, apa saja entri yang memberi makna, dirakam. ramai saja di luar sana yang menjadikan blog peribadi mereka seperti diari. sebenarnye, hal itu yang buat aku jadi keliru. bukankah diari itu sifatnya peribadi, untuk diri, mungkin juga untuk mereka yang dipercayai. jadi kenapa ada yang jadikan blog seakan diari? dua hal yang saling bertentangan; diari dan laman sawang, peribadi dan capaian umum.

...

...

...

(penulisan entri ni dah terpisah. semalam tak sempat dihabiskan. ada keutamaan yang lebih penting; melawat adik di UiTM Melaka bersama ibu dan adik-adik)

hari ni hari isnin. tak sampai setengah hari yang lepas, pasukan sepanyol baru saja menang piala dunia. tahniah buat pasukan sepanyol. tahniah buat yang gembira atas kemenangan sepanyol.
hal yang aku keliru tentang blog masih ada. tapi tu tak menjadi masalah, sebab kekeliruan tu tak menjadi masalah besar kalau tak dibahaskan pun. laman blog boleh saja digunakan untuk apa sahaja tujuan.

kalau nak dikaitkan dengan benda lain, aku terfikirkan tentang jambatan di lebuh raya. tujuan asalnye nak hubungkan dua daratan yang terputus. tapi bile diamati balik, skarang ni jambatan pun boleh jadi papan iklan. tak kisah la iklan besar kat sisi jambatan, atau iklan tayar pancit bermodalkan cat sembur dan templat. ada saja jambatan yang dibina sebelum digunakan sebagai jambatan. tak rugi sepenuhnya kalaupun jambatan tu tak berfungsi sebagai jambatan pun. biarlah apa saja tujuan dan harapan sesiapa atas tulisan mereka dalam blog mereka. biarlah ada yang meluahkan hal-hal peribadi, atau separa peribadi, atau berkongsi ilmu, atau membebel-bebel seperti ini. sebab, apa pun, setiap kita punya pilihan. pilihan untuk menulis, pilihan untuk membaca, pilihan untuk menjadikan blog sebagai mesin masa ke masa depan selepas jasad dan jiwa telah terpisah, pilihan untuk melakukan apa saja yang mungkin dalam batas ruang dan masa. bebas.

tentang bebas,

kurang dari seminggu yang lepas,

aku dengar segmen motivasi pagi di radio dalam perjalanan ke tempat kerja. bicaranya berkait tentang kebebasan. inti yang aku dapati bermakna dalam segmen pagi tu ada dua:-

1 - sedar bahawa diri punya kebebasan
2 - kawalan atas kebebasan itu, perlu

dalam hidup yang (insyaAllah) sentiasa mematuhi peraturan sebab dan akibat, dua hal tadi sangat relevan. keputusan kita atas segala tingkah laku akan dipertanggungjawabkan kepada kita. teringat satu perbualan santai dengan teman bilik beberapa tahun lepas. aku tiba-tiba ditanya tentang pendapatku tentang freedom of speech. dalam borak-borak itu, temanku berpendapat freedom of speech akan akhirnya menghancurkan diri. pendapatnya berasas. benar, tanpa pegangan, manusia mudah menurut nafsu. dan nafsu itu bukan akal. kalau pilihan yang dibuat terus-menerus sepenuhnya didorong nafsu, pilihan-pilihan itu bukan lagi pilihan yang berakal.
di situlah kepentingan pegangan, kerana pegangan mendorong kawalan ke atas kebebasan.



أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا


Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?
(Al-Furqan 25:43)


pesan ustaz itu juga. walau sejauh mana kita bebas dan dapat membebaskan diri dari segala apa, tak mungkin kita dapat bebas dari memerlukan pertolongan. kita tak mungkin dapat hidup sendiri. kalaupun sepanjang hidup, ada orang yang tidak perlukan bantuan dalam melakukan segala apa, dia masih memerlukan seseorang untuk memotong tali pusat ketika dilahirkan. dia juga tak mampu untuk menguruskan jenazahnya sendiri selepas dia mati. jadi tak perlu ada rasa sombong sesama kita, kerana kita memang saling memerlukan.

kurang dari seminggu yang lepas,

ulang tahun kelahiran aku. macam-macam boleh terjadi pada hari-hari ulang tahun. apa saja; kesedihan, kegembiraan, kenikmatan, musibah, atau sesuatu yang menakjubkan. apa saja boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang menakjubkan menurut kacamata dan sudut pandang masing-masing. sebab kita bebas untuk memilih sudut pandang dan kacamata. aku juga bebas untuk memilih sekiranya untuk ulangtahun kali ini aku mahukan kenderaan selaju cahaya, atau jongkong-jongkong emas seberat tiga tan, atau kasih sayang dan keikhlasan dari semua. aku juga bebas untuk memilih dan merasai andai ulang tahun kelahiranku, sesuatu yang menakjubkan.

seperti iniesta,
yang mempunyai kebebasan di atas padang,
dan mempunyai kawalan,
menjaringkan gol,
membawa pasukan sepanyol menjadi juara dunia.

baginya, itu sesuatu yang menakjubkan.


No comments:

Post a Comment